Eksport lintah
Oleh Hafiz Ithnin
bisnes@hmetro.com.my

MULTI Business Agrotech Sdn Bhd (MBA) syarikat dimiliki 100 peratus Bumiputera yang mengeluarkan produk kesihatan berasaskan lintah dan herba mengunjurkan untuk menjadi pembekal lintah berpotensi menembusi pasaran luar negara.

Pengasasnya, Norhisyamsul Mohamad berkata, sejak beroperasi pada 2009 dengan modal kira-kira RM100,000 kini syarikat itu memiliki 24 kolam ternakan lintah yang beroperasi bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan haiwan berkenaan.

“Pasaran produk berasaskan lintah sebenarnya berpotensi tinggi untuk dieksport ke luar negara kerana di sana produk ini sudah mendapat liputan meluas sebagai perubatan alternatif dengan kajian yang mendalam pelbagai pihak.

“Dalam tempoh empat tahun syarikat ini dibangunkan dengan lima pemegang saham, kami pernah mendapat tawaran daripada negara luar antaranya Turki dan Uzbekistan, tetapi kerana permintaan terlalu tinggi sehingga 1 tan kami terpaksa menolak kerana kekurangan bekalan,” katanya.

Katanya, melalui kajian dan pengalaman yang dilakukan daripada pelbagai sumber, lintah mempunyai pelbagai khasiat yang tinggi untuk merawat masalah kesihatan melalui berbekam antaranya resdung, jerawat dan migrain.

“Terdapat lebih 10 produk dikeluarkan oleh syarikat, empat daripadanya berasaskan lintah iaitu Zac Essence (membantu masalah tenaga batin, gout, arthritis, sakit sendi dan kegatalan), manakala Nessa Essense (menegangkan payu dara, menegangkan kulit muka, menghilangkan jeragat dan resdung).

“Dua lagi ialah Hair Tonic berkhasiat untuk rambut, serta Rasemba bagi membantu menghentikan darah, luka pada kulit, kembung perut dan penawar gigitan binatang berbisa,” katanya.

Norhisyamsul berkata, produk lain yang dihasilkan syarikatnya adalah berasaskan herba antaranya minyak kelapa dara, krim sakit sendi dan krim vitamin C hasil bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

“Kini kami masih lagi mencari pakar untuk mengkaji kelebihan lain yang terdapat pada lintah kerana pada masa ini syarikat menggunakan khidmat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi mengkaji produk keluaran kami.

“Melihat pasaran produk MBA kini semakin mendapat sambutan, kami juga mencari rakan niaga dari seluruh Malaysia bagi membantu masyarakat merawat masalah mereka dengan menggunakan rawatan alternatif ini dan bantuan dari pihak kerajaan bagi menyokong usaha ini,” katanya.